DAP gesa BN pinda akta hidupkan semula pilihan raya PBT
November 24th, 2009 | Posted in Media Coverage | |
Print This Post
Malaysian Insider
PETALING JAYA, Nov 24 — DAP Pulau Pinang menggesa kerajaan persekutuan pimpinan Barisan Nasional (BN) meminda Akta Kerajaan Tempatan 1976 bagi membolehkan pilihan raya kerajaan tempatan yang pernah diadkaan lebih empat dekad lalu dipulihkan semula di seluruh negara.
Parti itu berpendapat oleh kerana Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bercadang mahu meminda undang-undang berkenaan adalah lebih elok peruntukan untuk melangsungkan semula pilihan raya kerajaan tempatan dimasukkan sekali.
Sekurang-kurangnya DAP berharap langkah meminda akta berkenaan akan membolehkan pilihan raya kerajaan tempatan diadakan di negeri-negeri diterajui Pakatan Rakyat.
“Serentak dengan hasrat kerajaan persekutuan untuk meminda Akta Kerajaan Tempatan 1976 supaya Pihak Berkuasa Tempatan dapat terus mendakwa mana-mana pihak yang melakukan kesalahan, maka DAP menggesa supaya Seksyen 10 dan 15 bagi akta tersebut juga dipinda supaya pilihan raya tempatan dapat dipulihkan tanpa halangan atau sekatan dari segi perundangan,” kata Setiausaha Publisiti DAP Pulau Pinang, Ng Wei Aik dalam kenyataan dikeluarkan.
Ng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Komtar berkata, ekoran kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Kong Cho Ha bahawa Akta Kerajaan Tempatan 1976 akan dipinda bersama-sama dengan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 dan Akta Bangunan dan Harta Bersama (Penyenggaraan dan Pengurusan) 2007, maka DAP menggesa supaya kajian juga dilakukan untuk meminda undang-undang yang sedia ada bagi memulihkan pilihan raya tempatan.
“Setakat ini, Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang dan Dewan Undangan Negeri Selangor telah meluluskan usul bagi menggesa kerajaan persekutuan supaya meminda akta-akta yang berkaitan untuk memulihkan pilihan raya tempatan.
“Namun, disebabkan halangan yang diperkenalkan melalui Seksyen 10 dan 15 Akta Kerajaan Tempatan 1976, termasuk juga halangan oleh undang-undang lain yang turut berkaitan, maka pindaan Akta Kerajaan Tempatan 1976 merupakan langkah pertama bagi kita merealisasikan pilihan raya tempatan pada masa yang akan datang,” kata Ng.
Jika tidak tegas beliau, sebarang pilihan raya tempatan dikelolakan oleh kerajaan kegeri tanpa restu kerajaan persekutuan dan kerjasama Suruhanjaya Pilihan Raya serta bercanggah dengan Akta Kerajaan Tempatan 1976 akan dianggap sebagai pilihan raya yang tidak sah walaupun kerajaan negeri berhasrat untuk berbuat demikian.
“DAP menggesa kerajaan persekutuan supaya menyedari keinginan rakyat dan betapa pentingnya bagi kita memulihkan pilihan raya tempatan,” tambah Ng.
Sememangnya pilihan raya tempatan bukanlah sesuatu yang baru bagi negara.
Beberapa pilihan raya tempatan pernah diadakan sebelum dan selepas negara mencapai kemerdekaan.
“Dengan pengalaman sedemikian, tidak susah bagi kita memulihkan pilihan raya tempatan dalam masa yang terdekat,” kata beliau sambil menambah:
“Kerajaan Pulau Pinang yang memegang teguh kepada prinsip kedaulatan undang-undang serta berhasrat penuh untuk memulihkan pilihan raya tempatan tidak akan membuat sesuatu yang makna kelangsungannya tidak dijamin oleh perundangan yang sedia ada serta bercanggahan dengan Akta Kerajaan Tempatan 1976.”
Ng juga berpendpaat bahawa walaupun terdapat kerajaan negeri yang diperintah oleh Barisan Nasional tidak berhasrat untuk memulihkan pilihan raya tempatan, namun ini tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menafikan hasrat kerajaan negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat supaya memulihkan pilihan raya tempat di negeri-negeri mereka sahaja.
“Pindaan Akta Kerajaan Tempatan 1976 boleh dilakukan supaya cara pelantikan yang sedia ada masih boleh dikekalkan,” kata Ng lagi.
