Kes Pembunuhan Altantuya Menimbulkan Persoalan Penting Mengenai Ketelusan dan Akauntabiliti

10 January 2007

Pendapat

Pendapat Anda?

Selain daripada isu-isu perundangan dan jenayah, kes ini telah menimbulkan persoalan penting mengenai ketelusan dan akauntabiliti.

Orang ramai berhak mengetahui bahawa siasatan telah dijalankan tanpa kecuali terutamanya terhadap penggunaan bahan letupan C4 di samping dua daripada mereka yang tertuduh ialah anggota Unit Tindakan Khas yang ditugaskan di pejabat Timbalan Perdana Menteri.

Dalam perkara ini, kepentingan awam menuntut agar kenyataan polis diambil daripada semua yang didapati mempunyai apa-apa hubungan dengan Altantuya Sharibu atau apa-apa kaitan dengan para pembunuh. Sebagai contohnya, ada persoalan yang masih belum dijawab berkenaan mengapa anggota UTK yang sedang dituduh mahu membunuh mangsa dan kemudian mengambil tindakan yang begitu drastik untuk memusnahkan bahan bukti? Adakah mereka bertindak di atas keputusan mereka sendiri atau adakah mereka melaksanakan arahan? Siapa pula yang meluluskan penggunaan bahan letupan C4?

Tambahan lagi, ada juga persoalan mencurigakan mengenai kehilangan dokumen perjalanan berkaitan pergerakan keluar masuk Altantuya secara tiba-tiba.

Adakah pihak imigresen sedar tentang perkara ini? Atau ada arahan dari pihak atasan untuk memadam rekod-rekod ini? Bagaimana perkara ini boleh berlaku? Inilah persoalan yang mesti disiasat secara telus, dan mereka yang bertanggungjawab mesti didedahkan.

Tidak kiralah apa yang akan terjadi di dalam perbicaraan yang hanya akan diadakan pada tahun hadapan, persoalan-persoalan asas ini mestilah dijawab sekarang. Persoalan-persoalan ini bukan hanya ditanya di negara kita, tetapi di seluruh dunia dan sistem kehakiman kita mendapat perhatian sekali lagi. Tanggapan umum kini ialah sebuah siasatan jenayah yang tidak lengkap yang menimbulkan lebih banyak persoalan dari jawapan. Sudah semestinya mereka yang melakukan pembunuhan tersebut dibawa ke muka keadilan, tetapi semua yang bertanggungjawab mengarahkan pembunuhan tersebut juga mesti didedahkan. Malah, pihak tersebut memikul beban yang lebih besar untuk jenayah tersebut.

Persoalan juga timbul berkenaan peranan Altantuya dalam pembelian kapal selam Scorpene dan Agosta dari Perancis oleh kerajaan Malaysia dalam perjanjian bernilai hampir 1 billion euro (RM4.6 billion). Kami menganggap sebab-sebab yang diberi oleh kerajaan bahawa tiada isu rasuah atau akauntabiliti kerana komisyen ini dibayar oleh penjual kepada pihak ketiga, dan “tidak melibatkan wang kerajaan” langsung tidak munasabah.

Ini penipuan yang nyata; tiada penjual yang akan memberi komisyen sebegitu lumayan melainkan ia telah diambilkira di dalam harga pembelian kapal selam tersebut.

Pembayaran komisyen berjumlah 114 juta euro (RM530 juta) nyata sekali teramat mahal. Orang ramai berhak mengetahui siapakah sebenarnya yang mendapat durian runtuh ini? Sebagaimana didedahkan oleh Far Eastern Economic Review pada tahun 2002, Perimekar Sdn. Bhd. Akan menerima 8% dari jumlah kontrak dalam masa 6 tahun akan datang. Menurut penerbitan tersebut, Perimekar dimiliki 100% oleh Ombak Laut, syarikat milik Razak Baginda dan rakan-rakannya. Ombak Laut kemudian menjual 40% dari syarikat Perimekar kepada LTAT dan sebuah syarikat berkaitan.

Bagaimana sebuah syarikat yang tidak dikenali mendapat urusan pembelian senjata yang begitu besar. Hakikat bahawa Razak Baginda mengetuai sebuah ‘think-tank’ politik yang begitu rapat dengan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan dengan sendirinya menimbulkan persoalan yang besar mengenai ketelusan transaksi tersebut.

Mengapa pihak-pihak berkuasa seperti Badan Pencegah Rasuah dan Bahagian Jenayah Komersial tidak memulakan siasatan terhadap perkara ini?

ANWAR IBRAHIM

Pendapat Anda

Switch to our mobile site